"Han" sebagai konsep longgar Bangsa_Han

Takrif tentang identiti Han telah berubah-ubah pada sepanjang sejarah. Sebelum abad ke-10, sebilangan kelompok etnik bertuturan bahasa Cina seperti Hakka dan Tanka tidak dianggap secara sejagat sebagai bangsa Han, manakala sebilangan kelompok etnik yang tidak bertuturan bahasa Cina, seperti Zhuang, dianggap sedemikian. [2] Pada hari ini, kaum Cina Hui dianggap sebagai sebuah kelompok etnik yang tersendiri walaupun selain daripada pengamalan Islam mereka, tidak terdapat banyak perbezaan antara mereka dengan orang Han; dua orang Han daripada kawasan yang berbeza mungkin lebih berbeza dari segi bahasa, adat resam, dan budaya, berbanding dengan seorang Han dan seorang Hui yang berjiran.

Semasa Dinasti Qing, orang-orang Han yang menyertai sistem tentera Lapan Panji-panji dianggap sebagai orang Manchu, manakala nasionalis Cina yang mencuba menggulingkan pemerintahan beraja menekankan identiti bangsa Han untuk membezakan mereka daripada identiti raja-raja Manchu. Republik Cina pada pengasasannya mengakui lima kelompok etnik utama: kaum-kaum Han, Hui, Mongol, Manchu, dan Tibet, manakala Republik Rakyat China kini mengiktirafkan 58 buah kelompok etnik.